KISAH RAJA TEMPASUK Singgahnya RAJA ALAM,RAJA TAMBAK,RAJA ISMAIL

Dalam TuhfatAl-Nafis karangan Raja Ali Haji menyatakan bahawa Sultan Mahmud III telah meminta bantuan Raja Tempasuk untuk menyerang Belanda di Riau dalam tahun 1787. Tuhfat Al-Nafis mencatatkan peristiwa itu dengan jelas “….

“maka dukacitalah baginda Sultan Mahmud serta Raja Indera Bongsu.Maka jadilah dukacitanya dan sushnya seumpama api maka memakanlah akan sabarnya.Maka jadi melakukan dan mengikutkan hawa nafsunya sebab kerana hendak melepaskan piciknya dan susahnya.Maka menyuruhlah ia satu utusan ke Tempasuk membawa surat kepada Raja Tempasuk minta pertolongan pada mengamuk Holanda di dalam Riau.Maka Raja Tempasuk pun menyuruh anaknya tiga orang, pertama Raja Tembak,kedua Raja Alam, ketiga Raja Muda beserta Raja Ismail menjadi panglima besarnya. Maka berlayarlah mereka itu ke Riau.Adalah kelengkapannya kira-kira tiga puluh penjajab dan berangai”.

KUASA TEMPATAN DI TEMPASUK (1781-1879)

Tempasuk mempunyai sejarah silam yang amat terpenting di Nusantara pada suatu ketika dahulu. Nama Tempasuk amat terkenal dalam kalangan kerajaan-kerajaan yang wujud di Nusantara seperti kerajaan Melayu Melaka, Acheh,Siak Johor Riau, Kedah, Brunei, Sulu dan beberapa kerajaan yang wujud pada seawal abad ke-15 dan hinggalah ketika kedatangan kuasa barat seawal tahun 1500-an, iaitu Portugis, Belanda, Inggeris, dan Sepanyol.

 

Kemunculan Tempasuk sekitar tahun 1700-an adalah didorong oleh aktiviti yang amat sinonim dengan masyarakat Iranun iaitu kegiatan ‘perlanunan di perairan Nusantara’. Kegiatan ini menjadikan masyarakat Iranun amat dikenali oleh kuasa-kuasa tradisional di seluruh Nusantara. Masyarakat ini amat aktif dalam kegiatan merompak di perairan Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan. Menurut Ahmad Jelani Halimi, istilah ‘lanun’adalah disinonimkan oleh orang Melayu dengan kegiatan etnik Iranun sebagai ‘perompak laut’. Menurut beliau lagi, orang Iranun amat aktif dan mereka menyerang perkampungan untuk mendapatkan harta serta hamba abdi yang akan diniagakan. Owen Rutter juga turut menyatakan tentang kegiatan ‘merompak di laut’ oleh masyarakat Iranun ini dalam buku beliau ‘The Pirate Wind’.

Beberapa pandangan ahli sejarah sama ada tempatan dan luar, menyatakan bahawa orang Iranun adalah berasal dari Pulau Mindanao. Oleh kerana orang Iranun ini suka mengembara di laut atau di sebut ‘pelayag-layag’, maka mereka telah membuka beberapa kawasan baru di Utara Borneo seperti, Kudat, Tungku dan Tempasuk sebagai penempatan baru.

Penempatan Iranun di Tempasuk disebabkan oleh kedudukannya yang berhampiran dengan pantai serta muara sungai Tempasuk yang amat strategik sebagai pusat kegiatan mereka. Pada tahun 1781, Tempasuk dikuasai sepenuhnya oleh orang Iranun dan ketuanya dikenali sebagai Raja Ismail. Semasa berlaku peperangan antara Sultan Mahmud dengan pihak Belanda di Riau Johor, maka Sultan Mahmud telah memohon bantuan dari pada Raja Ismail untuk menyerang Belanda di Tanjung Pinang. Menurut Sultan Mahmud, Raja Ismail ada kaitan kekeluargaan dengan beliau, dan dengan sebab itulah Sultan Mahmud tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada raja Tempasuk iaitu Raja Ismail. Baginda telah mengutus Encik Talib ke Tempasuk bagi menyampaikan hasrat tersebut.

Oleh kerana hubungan yang sedia ada antara Tempasuk dan Riau Johor, maka Raja Ismail pula tidak menolak permintaan Sultan Mahmud dan mengarahkan para pengikutnya untuk berangkat ke Johor dengan kekuatan lebih tiga puluh buah perahu dan kapal. Raja Ismail bersama dengan tiga orang pembesar yaitu Raja Tebuk, Raja Alam berserta isterinya Raja Aisyah dan Raja Muda Umak dan Datu Sikolo serta Tok Lukus merupakan para pembesar yang turut serta. Menurut catatan dalam Tuhfat al-Nafis, serangan tersebut berlaku pada 1215 hijrah.

Dalam serangan itu, tentera Sultan Mahmud dan Raja Ismail telah mengalahkan Belanda, tetapi ketika Sultan Mahmud meraikan kemenangan itu beserta tentera Iranun dari Tempasuk yang diraikan bersama pembesar Iranun iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak sahaja yang hadir, manakala Raja Ismail tidak disebut dalam majlis tersebut. Ada kemungkina n Raja Ismail telah terkorban dalam serangan tersebut.

Setelah selesai majlis tersebut, Raja Tebuk dan Raja Alam kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak dan Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memberi perlindungan terhadap Sultan mahmud. Menurut sumber tempatan Raja Alam tidak ikut balik ke Tempasuk, tetapi beliau mencari penempatan baru. Manakala Raja Tebuk kembali ke Tempasuk dan menggantikan ayahanda beliau Raja Ismail sebagai ketua atau raja baru di Tempasuk.

Raja Tebuk atau dikenali juga sebagai Sultan Sa Tebuk telah mengetuai masyarakat Iranun di Tempasuk dan adalah difahamkan Raja Tebuk menetap di Matampai atau sekarang dikenali sebagai Kg. Kota Peladok. Semasa Raja Tebuk berkuasa di Tempasuk, beliau telah menyerang Ambong yang pada ketika itu di bawah kekuasaan Raja Brooke. Setelah Raja Brooke mengetahui serangan Raja Tebuk itu, maka beliau telah menghangtar utusan bagi mendapat penjelasan mengapa Raja Tebuk menyerang Ambong. Antara alasan Raja Tebuk ialah berlaku kekecohan antara orang Iranun dan penduduk Ambong sendiri, maka itu, Raja Brooke tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Raja Tebuk. Peristiwa ini dijelaskan oleh Ivor H. Evan dalam bukunya ‘Among Primitive Peoples in Borneo’.

Dalam masa yang sama wujud juga kuasa tempatan di Pandasan yang diketuai oleh Mirajah Dinda, namun kuasa ini juga adalah tertakluk dalam kuasa Tempasuk yang diketuai oleh Raja Tebuk selepas bapanya Raja Ismail. Pengaruh Raja Tebuk ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud mengiktiraf kedudukannya selepas serangan ke atas Belanda. Raja Brooke juga turut mengakui kedudukan Raja Tebuk sebagai ketua orang Iranun di Tempasuk. Ketika W. Pretymen datang ke Tempasuk Raja Tebuk sudah digantikan oleh anaknya Datu Komidal yang memakai gelaran juga sebagai Sultan Sa Tebuk seperti bapanya. Oleh itu, ketika W. Pretymen menjadi residen di Tempasuk pada tahun 1879 sebelum pemajakan penuh Syarikat Berpiagam Borneo Utara Berhad atau SBBUB pada tahun 1881, beliau turut mengakui wujudnya sultan Iranun di Tempasuk dan selepas itu beliau telah memberikan kuasa ke atas perkampungan di pesisir pantai iaitu Tamau, Merabau dan Matampai (Kota Peladok) sebagai ketua utama di samping Datu Mamuda yang mengawal Tamau, Merabau dan Asam, manakala Rampayan dan Nanamun diketuai oleh Datu Inderajayah.

Kesan terhadap kehadiran W. Pretymen sebagai residen Tempasuk, Sultan Sa Tebuk telah kehilangan kuasa sepenuhnya ke atas Tempasuk yang diwarisinya daripada bapanya Raja Tebuk. Sultan Sa Tebuk tidak dapat membantah tindakan W. Pretymen ini kerana beliau di pengaruhi oleh ipar beliau iaitu Datu Rambangan yang telah berkahwin dengan adiknya Bai Pandaupan.

Pembahagian kuasa atau lebih dikenali sebagai Mukim ini telah menjejaskan kedudukan Sultan Sa Tebuk atau Datu Komidal sebagai kuasa dominan. Datu Rambangan telah dilantik sebagai ketua utama ke atas perkampungan berhampiran sebelah kanan sungai Tempasuk seperti Linau, Bobot, Gunding, Gadding, Tambulion, Tempasuk, dan Piasau. Manakala Datu Tumongong sebagai ketua utama di perkampungan sebelah kiri sungai Tempasuk seperti Labuan, Lebak Inged, Gantisan, Timbang Dayang, Sembirai, Ragussa, Abai dan Lantigi. Inilah kedudukan Tempasuk setelah British datang sebagai kuasa baru yang mengambilalih kuasa Sultan Sa Tebuk.

Sebenarnya Tempasuk ini dahulu dikenali sebagai sebuah kerajaan, namun disebabkan pembuktian yang kurang kukuh, maka mengangkat Tempasuk sebagai satu kerajaan adalah amat sukar. Sejarah kewujudan Tempasuk sebagai satu entiti politik penting dalam sejarah Nusantara memang tidak dapat dinafikan dan kuasa Sultan Sa Tebuk berakhir apabila kuasa barat datang menjajah Tempasuk sekitar 1879 dan seterusnya pemajakan ke atas Borneo oleh SBBUB pada tahun 1881.

Bukti-bukti yang boleh diperakui ialah senjata sebuah meriam yang digunakan ketika mereka menyerang Belanda di Riau Johor 1781 yang masih ada di perkuburan Kg. Peladok. Selain itu, kubur Raja Tebuk di Kg. Kota Peladok (dulu Matampai) juga turut menjadi bukti penting dan juga jurai keturunan beliau yang masih dekat mengikut tarsila keluarga ini. Menurut sumber tempatan, Raja Tebuk juga mempunyai alat-alat kebesaran sebagai raja, tetapi malangnya peralatan ini telah hilang begitu saja terutama apabila pihak penjajah datang dan beberapa orang kepercayaan Raja Tebuk yang telah diamanahkan untuk menjaga peralatan tersebut telah menjualnya. Orang kepercayaan beliau ini terdiri daripada keluarga beliau juga, mungkin keadaan pada masa itu tidak lagi memerlukan perlindungan kuasa raja tetapi kuasa barat adalah lebih baik dan juga tekanan ekonomi yang amat kuat.