Sejarah NOBAT

Nobat ialah sebuah ensembel gendang dan tiupan yang dimainkan di istana Melayu
Siak,Semenanjung Malaysia dan Brunei sejak kedatangan Islam di rantau ini pada abad ke-13 Masihi.Nobat merupakan kesinambungan tradisi tamadun Islam yang dikenali sebagai tablkhana (Abbasiyyah, Fatimiyyah),naqqarakhana(Afghan,Parsi), nauba(Umayyah, Andalusia,Afrika Utara) dan naubat (Mughal).Di dunia Melayu, sejak berabad-abad lamanya,nobat menjadi salah satu alat muzik penting di istana sebagai simbol kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu.Berdasarkan catatan sejarah,nobat dilihat sebagai suatu proses pertembungan budaya,penyesuaian,peniruan dan penciptaan semula yang bermula pada abad ke-13 Masihi.Penubuhan institusi istana tidak akan terhasil atas usaha rakyat secara kolektif,tetapi sebahagian besarnya daripada keperluan dan keinginan golongan pemerintah yang dipengaruhi oleh pihak berkuasa (Shamsul, 1996).Nobat terbentuk dalam masyarakat yang diperintah oleh raja yang berkuasa mutlak atau golongan bangsawan,dan hanya mereka yang mempunyai kemampuan dan matlamat tertentu sahaja.Pemerintah juga bertanggungjawab terhadap kemajuan seni, pengetahuan agama dan kesusasteraan.
apabila pemuzik,penyair dan ulama berada di bawah naungan istana.Nobat menjadi salah satu alat muzik yang penting dalam adat istiadat istana yang sering digambarkan dalam kesusasteraan Melayu klasik.Meskipun sultan mewarisi alat muzik nobat tetapi pelantikannya dianggap tidak sah sebagai seorang raja, jika tidak “digendangkan”dengan paluan nobat.Kejatuhan beberapa Kesultanan Melayu pada abad ke-19 dan
20 Masihi turut menyebabkan nobat tidak lagi berfungsi.Kebanyakan peralatan nobat hilang,disimpan di muzium dan diwarisi oleh kerajaan lain. Meskipun demikian,nobat masih dimainkan oleh saki-baki ahli keluarga diraja yang masih kekal walaupun tidak
berkuasa lagi (Kartomi, 1997).
Setelah berabad-abad lamanya nobat melalui beberapa perubahan dari segi fungsi,instrumen, lagu dan juga definisi. Walaupun terdapat sedikit perbezaan, nobat masih dipersembahkan di istana Kedah,Perak,Selangor dan Terengganu,serta di Brunei
Darussalam.Kini,nobat masih menjadi sebahagian daripada alat kebesaran istana yang dimainkan semasa istiadat pertabalan sultan,mengumumkan ketibaan orang kenamaan,majlis perkahwinan diraja,kelahiran dan kematian.Bunyi nobat juga digunakan dalam konteks keagamaan seperti permulaan solat pada setiap hari dan menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal.Secara tradisinya,muzik nobat dimainkan oleh pemuzik secara turun-temurun dan di negeri Kedah,Perak dan Selangor
mereka terdiri daripada keluarga “orang kalur”(Raja Iskandar,2010).Peralatan yang digunakan dalam sesebuah ensembel nobat terdiri daripada nengkara atau nahara,sepasang gendang(ibu dan anak), serunai dan nafiri.Di Kedah dan Brunei, tetawak atau gong digunakan,manakala kopak-kopak(sepasang simbal kecil) dimainkan di Terengganu.Oleh sebab fungsi nobat yang penting dalam istiadat pertabalan sultan,istilah muzik
nobat digunakan untuk melambangkan proses penghasilan bunyi nobat.Walaupun
sejak berkurun lamanya nobat menguasai soundscape masyarakat Melayu,namun kini
nobat kian terpencil dan jarang-jarang diperlihatkan.Kejatuhan Kesultanan Melayu pada zaman pascakolonial(abad ke-20)menyaksikan nobat tidak lagi berfungsi dan alat muziknya hanya menjadi artifak silam semata-mata.Walau bagaimanapun,kini nobat dimainkan di istana sebagai simbol kebesaran rajaraja Melayu.Untuk meletakkan nobat dalam proses pembentukan identiti Melayu, hubungan segi tiga antara kesucian,
kekuasaan dan bunyi perlu dilihat.
NOBAT DAN ISLAM
Lokasi strategik Pasai yang juga dikenali sebagai Samudera Pasai atau Samudera di Sumatera Utara amat sesuai sebagai pelabuhan para pedagang dan pengembara yang belayar ke arah timur dan barat.Di pelabuhan inilah mereka akan menunggu angin monsun bermusim untuk membawa mereka sama ada melalui Selat Melaka untuk perjalanan ke China atau ke arah barat untuk perjalanan ke Asia Selatan dan Timur Tengah.Selain produk tempatan dari pedalaman seperti lada,benzoin dan kapur
barus,Pasai juga menjadi pusat perdagangan bagi produk dari Gujarat, China dan Asia Tenggara. Menjelang abad ke-13 Masihi,Pasai merupakan salah sebuah pusat perdagangan yang terpenting dalam rangkaian pelabuhan di dunia Melayu.Menurut catatan sejarah, beberapa orang pengembara terkenal seperti Marco Polo, Cheng Ho dan Ibn Battuta pernah singgah di Pasai.Kejatuhan Kerajaan Abbasiyyah di Baghdad pada tahun 1258 merangsang kebangkitan “kerohanian”di seluruh dunia Islam (SQ Fatimi, 1963; Moin, 2012).Keadaan ini menyebabkan peningkatan usaha dakwah oleh tarikat sufi pada abad ke-13 dan 14 Masihi di Alam Melayu, terutamanya menerusi India melalui rangkaian perdagangan di Lautan Hindi (Johns, 1961; Laffan, 2011). Islam
menjadi agenda baharu para pedagang India,termasuk kerajaan tertentu melalui hubungan dengan khalifah Timur Tengah untuk bertapak di pelabuhan Melayu dengan menjanjikan kemakmuran ekonomi,pengaruh politik dan penerimaan
ke dalam dunia Islam (Van Leur, 1955) yang sekali gus menaikkan nama Pasai.
Pedagang dan pendakwah Islam menetap, berkahwin,mempelajari bahasa dan
adat tempatan, serta menjalinkan hubungan yang baik dengan golongan bangsawan tempatan.Seawal tahun 1282, rekod China menunjukkan bahawa dua menteri Islam dari Samudera dihantar ke istana maharaja dan pada tahun 1292, Marco Polo melaporkan bahawa jumlah masyarakat Islam di pantai timur laut Sumatera agak besar (Hill,1963;Andaya, 2008). Hubungan Pasai dengan kerajaan Islam di India terbukti apabila Ibn Battuta yang berkhidmat sebagai utusan Sultan Delhi melawat Kesultanan Pasai semasa pemerintahan Sultan Malik al-Zahir (1297 – 1328).Setibanya di sana, beliau disambut oleh Amir Daulasa, seorang pegawai istana Pasai yang pernah ditemui di Delhi. Semasa berada di Pasai, Ibn Battuta mendapati bahawa sultan ialah seorang Muslim yang soleh, bermazhab Shafii dan sempat menyaksikan muzik dimainkan dalam suatu majlis di istana. Beliau juga melaporkan bahawa terdapat persamaan antara hiburan istana Pasai dengan istana India serta istana siak(Gibb, 1929).
Asal usul Islam di utara Sumatera dan seluruh dunia Melayu dibahaskan selama
beberapa dekad lalu (SQ Fatimi,1963; al-Attas,1969;Drewes,1985;Hall, 1985;Azyumardi Azra et al.,2006). Tumpuan akan diberikan kepada sebuah naskhah istana abad ke-14 yang dikenali sebagai Hikayat Raja-raja Pasai(Jones, 1997).Walaupun hikayat ini dipersoalkan dari sudut ketepatan sejarah dan kewuju dan unsur mitosnya, hikayat tersebut memberikan gambaran tentang hubungan politik pelabuhan Pasai pada peringkat antarabangsa dan kehadiran Islam. Menurut hikayat tersebut,Pasai dikunjungi oleh seorang syeikh yang bernama Ismail,yang belayar dari Makkah untuk menjalankan perintah Nabi Muhammad SAW.Dalam perjalanannya, Syeikh Ismail berhenti di selatan India dan kemudiannya dituruti oleh seorang pemerintah tempatan bernama Sultan Muhammad. Sultan tersebut melepaskan takhtanya untuk menjadi seorang fakir yang zuhud dan kemudiannya bertanggungjawab atas penyebaran agama Islam di Pasai. Seorang pemerintah tempatan, Merah Silu pula memeluk Islam dalam mimpinya dan kemudian ditabalkan oleh Syeikh Ismail sebagai pemerintah Islam yang pertama di Pasai bergelar Sultan Malik al-Saleh (p. 1297). Salah satu aspek menarik yang diketengahkan dalam hikayat tersebut ialah peranan penting nobat dalam proses pengislaman yang dinyatakan sebagai:
Maka Sultan pun memakai selengkap pakaian kerajaan nugeraha dari Mekah, karna akan ditabalkan.Maka segala hulubalang pun sekaliannya bersaf-saf mengadap nobat Ibrahim Khalil,bentara pun berdiri berjabat salih,dan segala pegawai pun masing-masing membawa jabatannya.Maka genderang tabal pun dipalu oranglah dan segala bunyi-bunyian pun berbunyilah.(Hikayat Raja Pasai, p. 32)
Daripada sumber asing dan tempatan didapati berlakunya interaksi antara
Kerajaan Pasai dengan dunia Islam yang mempengaruhi budaya setempat.
Buktinya dapat dilihat pada persamaan nama raja Pasai dengan sultan Kerajaan
Ayyubiyyah dan Mamluk di Syria dan Mesir (SQ Fatimi,1963).Sejak zaman
khalifah Abbasiyyah, nobat menjadi simbol kuasa pemerintah di seluruh dunia
Islam yang kian meluas (Farmer,1967; Shiloah,1995;Wade,1998).Kisah
pertabalan seorang pemerintah tempatan dengan seorang syeikh dari Makkah dan
bangsawan dari India membuktikan Pasai adalah sebahagian daripada rangkaian
politik dan ekonomi Islam. Nobat menjadi salah satu simbol perjanjian di rantau
ini dan sebagai tanda kuasa dan kedaulatan (Wade,1998;Bhatia,2001). Sikap akur dan tunduk seorang raja Melayu kepada kuasa asing tidak mustahil kerana Sultan Alauddin Riayat Shah al-Qahar dari Aceh (1539–1571) dalam surat kepada Sultan Uthmaniyyah menganggap dirinya sebagai seorang “hamba”dan Kerajaan Aceh sebagai“kampung kepunyaan”Sultan Uthmaniyyah(Alam dan Subrahmanyam,2005,p.212).Institusi nobat bukan sahaja menjadi sebahagian daripada adat istiadat diraja Pasai yang penting tetapi juga simbol kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu pada abad yang mendatang.