Home / Heritage / Sejarah Sultan Yahya di Dungun

Sejarah Sultan Yahya di Dungun

HUBUNGAN SEJARAH KESULTANAN MELAYU SIAK
Kesultanan Melayu Siak muncul dengan pengisytiharan Raja Kecik atau Tuan Bujang yaitu zuriat yang sah kepada Sultan Mahmud Marhum Mangkat Dijulang oleh Puteri Jamilan dan Yamtuan Sakti, Raja di Pagar Ruyong, Sumatera. Ketika pengisytiharan itu Raja Kecik berusia 16 tahun dan Baginda seterusnya dinobatkan sebagai keturunan “Raja Besar”.
Pada masa yang sama Kerajaan Melayu Johor mengalami krisis takhta sejak kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada tahun 1699. Walaupun Bendahara Abdul Jalil putera kepada Bendahara Tun Habib Abdul Majid dilantik menjadi Sultan, persengketaan Baginda dengan pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut telah berlarutan selama 20 tahun.
Keadaan persengketaan ini telah diambil peluang oleh Raja Kecik Siak yang mendakwa dirinya zuriat Sultan Mahmud Marhum Mangkat Dijulang untuk  menyerang Johor dan merampas takhta peninggalan  ayahanda baginda. Raja Kecik telah berjaya menguasai Kerajaan Melayu Johor Pada bulan Maret 1718 dengan mengalahkan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah yang memerintah Kerajaan Melayu Johor pada ketika itu dan menabalkan diri baginda sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Baginda telah mengawini Puteri Sultan Abdul Jalil Riayat Shah yang bernama Tengku Kamariah.
Pada tahun 1722, Raja Sulaiman putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah telah mengadakan pakatan dengan keluarga Raja Bugis lima bersaudara iaitu Daing Perani, Daing Menambun, Daing merewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi untuk menyerang Raja Kecik. Pakatan ini telah berjaya mengalahkan Raja kecik dan merampas balik Kerajaan Johor Riau. Raja Kecik berundur ke Siak dan mendirikan kerajaan baru Siak berpusat di Buantan pada tahun 1723. Raja Sulaiman ditabalkan sebagai yang Dipertuan Besar Kerajaan Johor-Riau dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
Kemangkatan Raja Kecik
Pada tahun 1746, Raja Kecik telah mangkat dan Kerajaan Siak kemudiannya diperintah oleh putera baginda yang bernama Raja Mahmud (Raja Buang Asmara) dengan gelaran Sultan Mahmud Abdul Jalil Jalaluddin Shah. Dua tahun kemudian berlaku perbalahan saudara di antara Sultan Mahmud Siak dengan paduka kakanda baginda iaitu Raja Alam. Sultan Mahmud Siak telah dikalahkan oleh Raja Alam lalu berundur ke Riau. Kemudiannya Sultan Mahmud berjaya mendapat bantuan daripada ayahanda saudaranya iaitu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Riau. Dengan bantuan itu Raja Alam dapat dikalahkan dan Sultan Mahmud kembali bertakhta di Siak.
Dalam tahun 1753 Raja Alam Shah sekali lagi menyerang Siak dan berjaya mengalahkan adindanya iaitu Sultan Mahmud Siak. Bagaimanapun dua tahun kemudian Raja Alam dikalahkan kembali oleh Sultan Mahmud dengan bantuan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Riau dan kapal perang Belanda.  Sultan Mahmud mangkat pada tahun 1760 lalu takhta Kerajaan Siak digantikan oleh putera baginda bernama Raja Ismail dengan gelaran Sultan Ismail Abdul Jalil Jalaluddin Shah.
Setelah Sultan Ismail mangkat pada tahun 1781 pemerintahan Siak diambil alih oleh putera baginda iaitu Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah. Bagaimanapun dalam tahun 1784 Sultan Yahya Siak telah diturunkan takhta secara tipu muslihat oleh Saiyid Ali Saiyid Othman Ash Shahab. Saiyid Ali beribukan Tengku Embong Badariah yang merupakan puteri kepada Raja Alam. Oleh itu Sultan Yahya telah membawa diri ke Retih. Tidak berapa lama kemudian beliau berlayar pula ke Terengganu lalu menetap di Dungun lalu mangkat di sini. Selepas kemangkatan Sultan Yahya Siak, seterusnya kerajaan Siak diperintah oleh keturunan Saiyid Ali. Kesinambungan Perhubungan Terengganu – Siak
Pada awal tahun 2004 yaitu setelah 220 tahun berlalu semenjak kemangkatan Sultan Yahya di Dungun, pada tahun 1784.
satu rombongan dari Siak diketuai Bapak Drs. Haji Orang Kaya Nizami Jamil, Ketua Masyarakat Peduli Lingkungan Wisata Siak Sri Inderapura telah datang ke Dungun dengan tujuan untuk mengemukakan satu cadangan bagi memugairkan Makam Sultan Yahya Siak di sini.
Semasa Kunjungan tersebut juga, rombongan dari Siak telah berkesempatan bertemu dengan
Dr. Tengku Mohd Kamil Tengku Ismail yang merupakan salah seorang keturunan Raja Siak . Mengikut salasilah beliau merupakan salah seorang keturunan Tengku Wook Ismail yang datang ke Terengganu semasa pemerintahan Sultan Ahmad I. Ninda kepada Dr. Tengku Mohd Kamil Tengku Ismail adalah Tengku Chik Abdul Jalil Tengku Muda Ismail yang merupakan Raja Anak Sungai Dungun yang terakhir sebelum kehadiran Inggeris di Terengganu.
Dengan adanya cadangan pemugaran Makam Sultan Yahya Siak  dan pertemuan keturunan Raja Siak yang bermastautin di Terengganu, maka satu lembaran baru dicetuskan untuk mewujudkan kesinambungan perhubungan Terengganu dengan Siak di masa hadapan. Bagaimanapun perubahan geo-politik serantau telah menyebabkan perhubungan Terengganu – Siak terputus untuk sekian lama.
Kesan sejarah Kesultanan Siak yang masih wujud di daerah ini hanyalah Makam Sultan Yahya Siak yang terletak di Kampung Che Lijah, Dungun. Manakala keturunan kesultanan Siak dan para pengikutnya  yang bermastautin di Terengganu telah menyesuaikan diri mereka dengan penghidupan masyarakat setempat

About Administrator

Siakwarisanbudaya.com adalah sebuah website yang mengupas tentang sejarh Bumi Melayu Siak Sri Indrapura

Check Also

SALASILAH KESULTANAN MELAKA & UTHMANIYYAH YANG DIBAWA LARI INGGRIS

Satu lembaran salasilah yang begitu menarik yang menghubungkan sultan-sultan Melaka & sultan-sultan Uthmaniyyah kini berada …

2 comments

  1. Sekali lagi intrik politik dan kekuasaan berlaku dalam kerajaan siak sri indrapura dalam kekuasaan tak ada batasan antara sesama saudara siapa kuat diaberkuasa dah nasib sultan yahya wafat dalam pengqsiangan akibat permainan kekuasaan

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *